BOLA SEPAK
Malaysia hampir lakar kejutan di Chengdu
Skuad kebangsaan nyaris melakar kejutan mengatasi China susulan mengikat pasukan ranking ke-80 dunia itu seri 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, sebentar tadi.
Keputusan seri menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon kekal dengan rekod tanpa kalah dalam enam aksi persahabatan antarabangsa sepanjang tahun ini.
Harimau Malaya yang berada di ranking ke-136 dunia membuat penyokong tuan rumah tergamam seketika apabila mendahului perlawanan menerusi jaringan penyerang Selangor FC, Faisal Halim, pada minit ke-11 selepas menerima hantaran Akhyar Rashid.
Iklan
China bagaimanapun kekal mendominasi perlawanan, memaksa skuad bimbingan Pan-gon bekerja keras terutama menyerap asakan bertali arus tuan rumah yang berusaha memburu gol penyamaan.
Selepas 30 minit permainan, gawang Harimau Malaya akhirnya bolos juga menerusi rembatan deras Lin Liangming yang gagal diselamatkan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-36.
Pertukaran dilakukan Pan-gon pada permulaan separuh masa kedua termasuk membawa masuk bintang muda Johor Darul Ta'zim, Arif Aiman Hanapi, Syahmi Safari dan Junior Eldstal pada awal babak kedua dalam usaha untuk menambah baik persembahan Harimau Malaya sebelum memastikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawan dengan keputusan seri 1-1.
Must-Watch Video