STL
Emas Anuar STL: KL Thunder kembali bernyawa dalam GP Terengganu
Selepas tewas mengejut kepada Negeri Sembilan Antlers dalam perlawanan pertama, Kuala Lumpur (KL) Thunder kembali menghidupkan peluang untuk ke suku akhir Grand Prix (GP) Terengganu, Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Premier.
Masih mempertaruhkan Syahir Rosdi, Amirul Zazwan dan Azlan Alias, Thunder yang sedar tidak lagi mampu menanggung kekalahan apabila pantas menjarakkan kedudukan kepada enam mata untuk mendahului 10-4 di Stadium Tertutup Gong Badak itu.
Bagaimanapun, PDRM Defenders berhasil mengikat kedudukan 14-14 untuk mebawa perlawanan ke tie break.
Iklan
Tetapi momentum kebangkitan itu dipatahkan Thunder yang meraih tiga mata berturut-turut untuk menang 17-14.
Set kedua bertambah mengujakan apabila kedua-dua seteru saling meraih mata dan terikat 6-6, namun tiba detik giliran Defenders yang ke depan hingga perlawanan diheret ke set penentuan menerusi kemenangan 15-13.
Momentum pertarungan ini sama sekali tidak dikendurkan sambil pelibas -- baik Azlan Alias mahupun Syukri Hasan saling menunjukkan keupayaan untuk mengekori rapat kedudukan set ketiga.
Tekanan perlawanan kian memuncak apabila kedudukan terikat 10-10. Namun, Thunder jelas lebih berpengalaman dalam situasi mendebarkan itu untuk mengutip lima mata berturut-turut bagi menutup permainan 15-10.
Sementara itu, ATM Guardians yang dibarisi Fetri Azwadi, Norfaizzul Razak dan Adam Aiman melangkah ke suku akhir selepas membenam Kelantan Warriors 2-1.
Must-Watch Video