HOKI
Hoki Piala Negara-Negara: Dua tonggak negara bawa misi peribadi
Hanya berbaki 13 hari menjelang aksi pembukaan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur dengan skuad negara bakal membuka kempen menentang musuh tradisi, Pakistan.
Dua tonggak utama The Speedy Tigers, Syed Syafiq Syed Cholan dan Shello Silverius, ada misi peribadi untuk dilunaskan memandangkan pengalaman terakhir bertemu Pakistan sebelum ini tidak seperti yang diharapkan.
Syed Syafiq merupakan taruhan utama sewaktu gerakan pukulan sudut penalti manakala Shello pula merupakan nadi pengerak jentera tengah dan serangan.
Iklan
Bagaimanapun, dua pemain itu berkongsi nasib sama apabila pengalaman terakhir menetang Pakistan memberikan pengalaman pahit.
Shello membarisi skuad negara sewaktu mencatat keputusan seri 3-3 dengan Pakistan pada Januari tahun lalu, di mana skuad negara gagal ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Syed Syafiq juga berdepan igauan ngeri sewaktu mewakili negara dalam dua pertemuan terakhirnya menentang negara itu
Shello berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Perlawanan terakhir dengan Pakistan kami seri, jadi kami ada jiwa untuk menang untuk ke separuh akhir Piala Negara-Negara.
"Kami memang mahukannya, jadi kami mahu mencuba untuk menewaskan setiap lawan."
Syed Syafiq menambah: "Saya menentang Pakistan dalam Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Poland, di mana kedua-duanya tidak berkesudahan baik.
"Walaupun kami tahu kami pasukan yang lebih baik daripada mereka, kealpaan dalam suku terakhir menghukum kami.
"Mungkin kali ini, kami perlu melihat semula dan tidak boleh mengulangi kesilapan sama," katanya.
Must-Watch Video