PERMOTORAN
RCB MiniMoto Championship: Langkah awal bentuk pelumba MotoGP
RCB Minimoto Championship dirasmikan dengan jayanya di Litar Antarabangsa Kart Sepang, hari ini, bersempena dengan pusingan pertama musim ini.
Kejohanan ini mengetengahkan pelumba-pelumba cilik berusia di antara 6 hingga 9 tahun, dan buat julung kalinya perlumbaan berlangsung sepenuhnya di litar sepanjang 1.243 kilometer itu yang telah diperakui oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
Sebanyak 12 pelumba muda dipilih melalui sesi pemilihan yang berlangsung pada 12 April lalu dengan melibatkan 35 orang peserta yang mendaftar secara atas talian.
Iklan
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengurus Komunikasi MKA Group, Norlina Ayob, bersama Zulfahmi Khairuddin daripada ZK Racing selaku pengurus kejohanan.
"Ini satu ekosistem yang amat baik, iaitu bermula dari peringkat akar umbi MiniMoto kepada MotoGP dalam mencungkil dan membimbing bakat muda yang mempunyai minat dalam sukan permotoran.
"Tidak mustahil pada satu hari nanti, lahirlah pelumba MotoGP dari Malaysia hasil daripada program ini.
"MiniMoto juga merupakan satu peluang yang lebih baik untuk mendekati dan mendidik pelumba muda dengan harapan untuk membentuk penunggang yang lebih baik, sama ada untuk diri sendiri atau mempengaruhi rakan-rakan yang lain untuk berlumba dalam persekitaran yang lain.
"Kami juga memupuk tindakan profesional sejak dari kecil dengan berlumba secara betul berbanding berlumba secara haram di jalan raya," kata Pengarah Pemasaran Kumpulan MKA, Marcus Leong.
Must-Watch Video